MENU

KUALA SELANGOR, 16 OKT: Tindakan tidak bertanggungjawab pemandu lori yang membuang sampah di tapak pelupusan haram akhirnya berjaya dihidu Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Yang Dipertua (YDP) MDKS, Rahilah Rahmat berkata, oleh itu, pihaknya telah menyita lima lori yang didapati membuang sampah di tapak pelupusan haram Kampung Sentosa, Bestari Jaya.

“Tindakan ini diambil menerusi risikan awal pihak kami dan aduan daripada penduduk sekitar yang melihat kejadian tersebut.

“MDKS turut memberi amaran kepada mana-mana syarikat pemaju, kontraktor atau individu untuk tidak mengambil jalan mudah melupuskan sampah di kawasan ini. Tindakan sitaan dan kompaun akan dikenakan kepada mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Tindakan sitaan itu dilakukan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKS) 2007.

Kadar Kompaun yang dikenakan RM1000, sementara kadar tebusan sebanyak RM1000 dan kos simpanan di Depoh Kenderaan adalah RM50 sehari.

Rahilah berkata, MDKS juga telah mewujudkan kawalan statik di kawasan pembuangan sampah haram untuk mengelakkan kawasan tersebut berterusan menjadi tempat pelupusan sampah.

Katanya, isu sampah haram di daerah ini dipandang serius dan MDKS mengharapkan kerjasama dari agensi kerajaan dan orang awam dalam usaha memastikan keadaan itu tidak berlarutan.

“Kami juga tidak teragak-agak untuk bertindak tegas jika pihak terbabit masih berdegil dan mengheret mereka ke mahkamah jika didapati masih melakukan kesalahan sama.

“Sehingga hari ini, ramai di antara kita yang masih memandang ringan terhadap isu sampah haram di daerah ini. Walaupun dengan pelbagai kempen kesedaran yang dijalankan oleh kerajaan, namun lambakan sampah masih menjadi salah satu masalah yang berlarutan,” katanya.

 

Sumber: Selangorkini