MENU

Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.                                   

Pertama sekali marilah kita memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia dan izinNya untuk kita meneruskan usaha dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab mengurus dan mentadbir MDKS ke arah kemajuan dan pembangunan yang lebih cemerlang serta menyalurkan perkhidmatan perbandaran yang lebih baik kepada pelanggan.

Selamat datang dan terima kasih kerana melayari laman sesawang www.mdks.gov.my ini. Sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor saya merasa bangga di atas kunjungan Y.Bhg. Dato'/ Tuan/ Puan. Sejajar dengan kepesatan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini, MDKS komited untuk menjadikan laman web ini sebagai platform utama untuk menyampaikan maklumat yang telus, tepat dan terkini kepada pengunjung. Segala maklumat akan sentiasa dikemaskini dan bersifat interaktif agar ianya dapat memberi manfaat kepada semua pengunjung yang melayari laman web ini.

Saya yang baru menerajui MDKS pada  1  Februari  2017, merasakan bahawa tugas untuk membawa MDKS ke arah lebih cemerlang adalah satu tugas yang penuh cabaran. Namun saya yakin dan percaya melalui kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh Ketua Jabatan, Bahagian dan Unit serta sokongan daripada semua Ahli Majlis dan seluruh warga kerja MDKS, setiap pencapaian, anugerah dan sumber pendapatan akan terus dipertingkatkan.

MDKS berazam untuk terus komited dalam meningkatkan perkhidmatan pengurusan perbandaran kepada semua pelanggan dan penduduk sekitar daerah Kuala Selangor.

Bagi mencapai hasrat tersebut, MDKS telah pun menetapkan visi untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai sebuah "Perbandaran Lestari Masyarakat Sejahtera" dengan menyediakan persekitaran perbandaran yang  kondusif bagi pembangunan ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, warisan sejarah dan kehidupan berkualiti.

Saya juga berharap agar semua warga kerja MDKS sentiasa mengamalkan prinsip kerja berpasukan, kreatif dan inovatif  disamping berfikiran positif untuk merancang dan melaksanakan sesuatu yang baru bagi meningkatkan kualiti  perkhidmatan yang akan disalurkan kepada semua pelanggan.

Saya akan meneruskan usaha bagi mencapai segala matlamat dan kesinambungan kerja ke arah visi dan misi yang telah dirancangkan dengan keutamaan mewujudkan keselesaan masyarakat serta mana-mana keutamaan yang harus diberikan pada masa kini.

Akhir kata, saya mengalu-alukan semua pandangan atau syor yang konstruktif daripada orang ramai demi merealisasikan impian semua supaya Majlis Daerah Kuala Selangor menjadi sebuah perbandaran yang mampan. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

 

TUAN MOHD AZHAR BIN MOHAMED ALI SMS, AIS, PJK,

YANG DIPERTUA 

MAJLIS DAERAH KUALA SELANGOR