MENU

KUALA SELANGOR, 24 MEI: Sebanyak 1,500 unit tong sampah beroda sumbangan Kerajaan Negeri bakal diagihkan ke kawasan yang menghadapi masalah pembuangan sampah haram di daerah ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, sumbangan itu adalah rentetan daripada peruntukan Projek Pengurusan Sampah Kampung Tradisional 2017 berjumlah RM1.78 juta. Katanya, MDKS juga akan membina kebuk sampah berserta tong di lokasi disyorkan Ketua Kampung Daerah Kuala Selangor bagi mengelakkan tempat pembuangan sampah haram berleluasa.

“Diharap usaha ini dapat membantu penduduk melupuskan sisa buangan mereka secara teratur dan mengurangkan masalah pembuangan sampah haram. “MDKS sentiasa serius menangani isu ini dan mengharapkan kerjasama agensi kerajaan dan orang awam dalam usaha memastikan Kuala Selangor sifar sampah haram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Tong Sampah Beroda kepada Ahli Majlis dan Leach Bin untuk Projek Pengurusan Sampah Di Kampung Tradisional Daerah Kuala Selangor, di sini, baru-baru ini. Mohd Azhar berkata, orang awam yang ingin menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti pembuangan sampah haram boleh berbuat demikian menerusi aplikasi SPARKs.

“Kita amat alukan maklumat daripada orang ramai supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Sumber: Selangorkini