MENU

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) meneruskan inisiatif pencegahan aktiviti rasuah melalui Ikrar Bebas Rasuah MDKS oleh para kakitangan yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MDKS, Tuan Mohamad Yusli bin Askandar di saksikan oleh Tuan Hairuzam bin Mohamad Amin, Timbalan Pengarah Operasi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Selangor.

Ikrar Bebas Rasuah merupakan satu inisiatif yang telah dibuat oleh pihak SPRM bagi tujuan untuk memberikan penekanan dan meningkatkan iltizam untuk menjauhi penyalahgunaan kuasa khususnya rasuah. Majlis Daerah Kuala Selangor turut mengambil langkah yang sama untuk berikrar dan komited untuk bersama-sama memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam keseluruhan operasi dan pengurusan.

Program ini merupakan komitmen berteruskan pihak MDKS untuk meningkatkan tahap kesedaran serta kefahaman mengenai integriti dalam bidang pekerjaan serta meningkatkan komitmen warga kerja terhadap peranan yang boleh dimainkan khususnya di dalam membanteras gejala rasuah.

MDKS sentiasa mengambil berat isu berkaitan rasuah dan sehingga kini MDKS masih dapat mengawal dari berlakunya aktiviti yang berunsur rasuah. Adalah amat penting untuk setiap kakitangan mematuhi segala peraturan dan prosedur kerja yang ditetapkan supaya tidak menghasilkan satu tanggapan yang negatif daripada masyarakat.

Demi meningkatkan nilai integriti didalam perkhidmatan bersama pelanggan, MDKS telah mewujudkan Saluran Integriti Majlis Daerah Kuala Selangor untuk orang awam menyalurkan aduan secara terus kepada MDKS. 

Orang ramai boleh membuat aduan berkaitan salah laku rasuah atau disiplin yang melibatkan kakitangan MDKS di aimdks@mdks.gov.my.