MENU

KUALA SELANGOR, 3 MEI: Sebanyak 50 regu bersaing bagi mengungguli Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Lelaki Piala Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) 2017, baru-baru ini.

  

Yang Dipertuanya, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, kejohanan tahunan itu bagi memberi peluang kepada belia tempatan menguji kemampuan bersaing bersama regu luar daerah dan Selangor. Katanya, ia juga mampu menjadi landasan menonjolkan bakat baru dalam kalangan anak muda untuk digilap. “Kegiatan sukan ini sewajarnya menjadi budaya rakyat Malaysia ke arah meningkatkan kesihatan dan kualiti kehidupan. “Pada masa sama, ia diharap dapat meningkatkan minat masyarakat untuk terus bermain sukan tradisi ini agar tidak luput ditelan zaman,” katanya.

  

Mohd Azhar berkata, sepak takraw juga boleh menjadi aktiviti alternatif kepada orang muda yang kini terdedah kepada kegiatan bertentangan norma masyarakat. “Penganjuran aktiviti sukan seperti ini sedikit sebanyak dapat menghindarkan golongan muda daripada terjebak dengan gejala sosial,” katanya.

   

Bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor, kejohanan menyaksikan Regu KJTT ‘A’ muncul juara selepas menewaskan regu Jaguh Kampung ‘A’, seterusnya membawa pulang RM1,000.

Sumber: Selangorkini