MENU

KUALA SELANGOR, 29 OGOS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bersedia menjalin kerjasama dengan pihak swasta bagi melengkapkan Jeti Pekan Lama Kuala Selangor dengan pelbagai kemudahan.

Yang DiPertua, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, ia termasuk pembinaan galeri, tempat menunggu, galeri, kiosk perniagaan, kedai cenderahati dan lain-lain. Katanya, ia memerlukan pemajuan segera memandangkan ia menghubungkan pelancong dengan satu-satunya destinasi di Asia yang menawarkan fenomena ‘Salar De Uyuni’ (pantulan imej seakan cermin) di Permatang Angsa.

“Mungkin kita buat menerusi kaedah penswastaan untuk menyediakan kemudahan kepada masyarakat. “Sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), saya percaya kita tidak boleh menunggu sahaja dana kerajaan tetapi perlu lebih inovatif. “Jika tunggu sahaja, maka lambat lagilah kemajuan dikecapi,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 24 Ogos lalu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Jeti Pekan Lama Kuala Selangor, di sini, yang turut dihadiri Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din. Mohd Azhar berkata, pihaknya juga akan memperbaiki kemudahan sedia ada untuk keselesaan pengunjung dan pelancong, terutama berkaitan aspek keselamatan.

“Antara lain, kita akan tambah pagar keselamatan serta jaket keselamatan yang memenuhi aspek digariskan pihak berwajib. “Begitu juga dengan laluan bot yang melalui laluan kapal besar, kita mohon agensi berkaitan untuk membantu kelancaran operasi kita. “Diharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dan sokongan dalam usaha memajukan destinasi pelancongan yang berpotensi besar di Selangor ini,” katanya.

 

Sumber: Selangorkini