MENU

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 8 APRIL: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) akan memberi ganjaran RM3 untuk setiap tikus yang berjaya ditangkap di kawasan itu.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, bayaran tunai akan dibuat kepada penangkap yang berjaya, pada setiap Selasa dan Khamis.

Katanya, penangkap juga digalakkan untuk menghantar tikus berkenaan sama ada hidup atau mati kepada Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS.

“Langkah ini diambil bersempena kempen kawalan tikus yang akan dijalankan sehingga hujung tahun ini untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama penularan penyakit Leptospirosis dan penyakit bawaan daripada tikus,” katanya dalam kenyataan.

Rahilah berkata, masalah pembiakan tikus dipandang serius apabila Kuala Selangor menjadi tumpuan pelancong terutama bagi pecinta makanan.

Katanya, oleh itu, orang awam khasnya pelanggan premis makanan perlu melaporkan kepada MDKS jika melihat sikap kurang peka pemilik premis terhadap isu kebersihan.

“Untuk sebarang pertanyaan berkenaan kempen ini, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS di talian 033289 2235,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 17 April 2019 - 2:29pm