MENU

KUALA SELANGOR: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) melancarkan Sistem Pengurusan Aduan Rakyat Kuala Selangor (SPARKS) bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan pengendalian aduan di kawasan pentadbirannya.

   

Ke arah mencapai status Perbandaran Kuala Selangor, SPARKS yang dibangunkan melalui usaha sama MDKS dengan syarikat tempatan sejak setahun lalu, memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama seperti sistem mesra pengguna dan mampu meningkatkan kecekapan kakitangan dalam mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima.

Yang Dipertua MDKS, Noraini Roslan, berkata SPARKS akan menjadikan pengurusan aduan lebih telus dan boleh dikesan, malah membolehkan pemantauan lebih efektif oleh pihak pengurusan dalam menangani masalah diajukan orang ramai.                                 

     

Sistem itu, katanya, disediakan melalui laman web dan aplikasi telefon pintar (mobile apps) yang boleh dimuat turun oleh orang ramai untuk membuat aduan dan bagi kakitangan MDKS menyemak aduan serta mengemas kini maklumat tindakan yang perlu diambil.

"Ia juga membolehkan pengendalian aduan lebih cepat dan pantas. Pengadu boleh memilih fungsi pelbagai aduan yang dikendalikan oleh jabatan di MDKS dan akan disalurkan terus kepada jabatan berkenaan sebelum dirujuk kepada pegawai bertanggungjawab yang menjaga zon terbabit," katanya.

   

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran SPARKS oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wan, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif System Consultancy Services Sendirian Berhad (SCS) Datuk Khalilur Rahman Ebrahim.

   

Puan Noraini berkata, sistem itu yang diperkenalkan kepada semua jabatan dalam MDKS, turut diuji secara intensif oleh Jabatan Pengurusan sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 9 Disember 2019 - 10:42am