MENU

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), sebanyak 1040 unit tong sampah “two wheel bin” telah diedarkan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kepada 3 buah Kampung Baru menerusi satu majlis khas di Balai JKKK Kampung Baru Tiram Setia.

Penyerahan tong sampah ini merupakan hasil sumbangan Kerajaan Negeri Selangor kepada kampung-kampung baru agar dapat membuang sampah secara sistematik. Tiga buah kampung yang menerima tong percuma ini adalah Kampung Baru Ijok, Kampung Baru Seri Berjuntai dan Kampung Baru Tiram Setia.

Program ini merupakan komitmen MDKS untuk memupuk budaya mementingkan kebersihan dalam kalangan penduduk di daerah ini dan diharapkan penduduk dapat memanfaatkan pemberian tong sampah percuma ini. Secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kawasan-kawasan baru pembuangan sampah haram di daerah ini

MDKS sentiasa serius untuk menangani isu sampah haram di daerah ini dan mengharapkan kerjasama dari agensi-agensi kerajaan dan orang awam dalam usaha memastikan Kuala Selangor sifar sampah haram.

Kawasan hotspot yang menjadi perhatian daripada MDKS adalah Kampung Sri Sentosa, Tanjung Karang ( Jalan Alternatif Bagan Pasir dan Pantai Sungai Kajang), Ijok ( Jalan Pusara Ijok dan Jalan Abdul Aziz Batu 8 Ijok), Sungai Buloh ( Jalan Sasaran dan Bagan Sungai Buloh), Jeram (Jalan Sungai Janggut dan Bukit Hijau) dan Pasir Penambang ( Jalan Bagan Pasir Penambang dan Pengkalan Permatang”.

Pemantauan secara berkala serta tindakan penguatkuasaan berterusan diambil oleh pihak MDKS di kawasan tersebut menerusi penguatkuasa yang tidak berpakaian seragam.

Jika tertangkap, kadar kompaun maksima sehingga RM 1000.00 dan apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-keduanya, dan dalam hal sesuatu kesalahan yang berterusan boleh sebagai tambahan didenda tidak melebihi RM 200.00 bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan. 

Kerjasama orang ramai turut diperlukan agar tidak membuang sampah di kawasan tersebut selepas ini dan melaporkan segera kepada MDKS jika melihat perkara ini berulang.

Masyarakat digalakkan untuk menyalurkan aduan secara online berkaitan perkhidmatan MDKS di sistem dalam talian SPARks atau Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (STAR).