MENU

KUALA SELANGOR, 9 SEPT: Penganjuran Karnival Kesenian dan Kebudayaan 2017 peringkat Daerah Kuala Selangor menjadi wadah dalam memartabatkan kebudayaan dan kesenian untuk generasi muda.

Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohamad Yusli Askandar berkata, acara tahunan itu diadakan bagi memperkenalkan budaya dan kesenian sekaligus memberi pendedahan adat pelbagai kaum kepada masyarakat setempat umumnya. “Tujuan program khusus memberi kesedaran kepada golongan muda yang juga merupakan generasi masa hadapan supaya menitik beratkan aspek kesenian dan kebudayaan agar tidak hilang begitu sahaja. “Generasi mudalah aset negara tidak ternilai harganya kerana mereka yang mengambil alih tugas dan peranan mendidik dan membentuk mereka pada hari ini,” katanya ketika Majlis Perasmian Karnival dan Kebudayaan di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, di sini hari ini.

Katanya lagi, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya membangunkan jiwa yang cintakan kebudayaan dalam kalangan generasi itu. “Mereka perlu diasuh dan dibentuk sebagai generasi mempunyai semangat keseniaan tinggi agar tumbuh rasa cinta kepada kebudayaan dan kesenian. “MDKS akan terus berusaha menganjurkan program seperti ini bagi mencapai matlamat disasarkan Pelan Strategik MDKS 2016-2020 iaitu merangsang pembangunan modal insan bagi melahirkan masyarakat madani dan kehidupan yang harmoni,” katanya.

Terdapat beberapa persembahan dan sembilan acara pertandingan di antaranya pertandingan melukis kolum, pertandingan melukis khat jawi dan pertandingan membuat tanglung. Pada masa sama, turut diadakan majlis penyampaian Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) antara seramai 36 penerima Skim Pinjaman Hijrah bernilai RM258,000.

Selain itu, turut disampaikan beg sekolah kepada 30 kanak-kanak berdaftar Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Peduli Sihat kepada seramai lima penerima, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) (7 penerima) dan sumbangan Foodstamp kepada empat penerima.

 

Sumber: Selangorkini