MENU

KUALA SELANGOR, 11 OKT: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menjalankan operasi pembersihan dan sitaan rumah di Bagan Pasir, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan, Mohamad Yusli Askandar berkata, tindakan diambil rentetan aduan penduduk mengenai ketidakselesaan mereka terhadap rumah yang dijadikan stor penyimpanan barang terpakai itu.

Katanya, pemilik terlebih dahulu diberikan notis amaran untuk membersihkan rumah berkenaan namun tidak berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan. “Maka, satu operasi pembersihan dan sitaan dijalankan dan semua barangan kitar semula serta objek berpotensi menjadi tempat takungan air disita.

“Sesi kaunseling turut dijalankan untuk memberi kesedaran mengenai kesan negatif sekiranya tindakan menyimpan barangan terpakai dijalankan secara berterusan,” katanya.

Mohamad Yusli berkata, MDKS memohon kerjasama orang ramai untuk mengambil berat aspek kebersihan rumah agar tidak mengganggu keselesaan jiran dan penduduk sekitar. Katanya, mereka boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara selama tempoh lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya di bawah subseksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Masyarakat digalakkan untuk menyalurkan aduan secara dalam talian berkaitan perkhidmatan MDKS di dalam aplikasi SPARks yang boleh dimuat turun secara percuma di Play Store dan App Store,” katanya.

Sumber: Selangorkini