MENU

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menerusi Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran menganjurkan Kursus Pengendalian Makanan di Dewan Sri Siantan, di sini, pada 27 Oktober ini.

Memasuki siri ke-10 penganjuran, kursus itu antara inisiatif MDKS memastikan pemilik premis dan peniaga pasar malam mengutamakan aspek kebersihan semasa mengendalikan makanan.

Jurucakap MDKS dalam kenyataan berkata, kursus itu penting selaras dengan pemeriksaan dan penggredan premis di pihak berkuasa tempatan terbabit, yang menekankan bahawa setiap pengendali makanan diwajibkan menghadiri kursus berkenaan.

“Ia secara tidak langsung membentuk pengendali makanan berdedikasi dengan memantapkan kebersihan persekitaran premis makanan, selain membudayakan etika dan cara kerja baik serta kecekapan tadbir urus.

“Ia juga memberi peluang kepada peniaga dan orang awam untuk merujuk semula berkaitan tatacara betul semasa mengendali makanan,” katanya.

Yuran pendaftaran dikenakan bagi setiap penyertaan adalah RM50 dan turut menerima sijil selepas tamat kursus berkenaan.

Justeru, orang ramai berminat atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut berhubung program itu boleh menghubungi urusetia di talian 03-32812235.

Sumber: Selangorkini