MENU

KUALA LUMPUR 30 Mac - Sebanyak dua buah lori milik persendirian di sita Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kerana didapati bertindak membuang sampah secara haram di kawasan berhampiran Kampung Sentosa, Bestari Jaya, Dekat sini, baru-baru ini.

Yang Dipertua MDKS, Tuan Mohd. Azhar bin Mohamed Ali berkata, tindakan itu diambil menerusi risikan awal pihak MDKS dan aduan daripada penduduk setempat berhubung tindakan pihak tidak bertanggungjawab berkenaan. Tegasnya, tindakan sitaan itu dilakukan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MDKS 2007.

“MDKS telah memanjangkan perkara ini kepada pihak Pejabat Daerah Tanah Kuala Selangor untuk menyemak semula status tanah tersebut agar tindakan yang tegas dapat diambil kepada tuan tanah tersebut. “Disamping itu juga, pihak kami akan melakukan pemantauan susulan secara berkala dan berterusan di tapak berkenaan untuk mengekang aktiviti sama berulang di kawasan yang terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Azhar berkata, MDKS mengambil serius perkara tersebut untuk menangani isu sampah haram di semua kawasan pentadbirannya. “Kerjasama daripada penduduk sekitar amat diperlukan bagi membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa menerusi aplikasi sistem aduan SPARKs. “Usaha untuk menangani masalah pembuangan sampah haram tidak terletak di bawah MDKS semata-mata dan kebanyakan isu yang timbul berlaku di kawasan bukan bawah seliaan MDKS,” katanya.

 

Sumber: UTUSAN ONLINE