MENU

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 7 JAN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menawarkan hadiah botol air minuman edisi khas kepada orang awam yang menjelaskan bayaran cukai taksiran, bagi tahun 2019.

Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat berkata, pemberian hadiah edisi khas itu bagi menghargai komitmen dan tanggungjawab pembayarr cukai yang menjelaskan cukai taksiran.

“Pembayaran cukai taksiran ini penting kerana hasilnya akan dipulangkan semula melalui perkhidmatan seperti kutipan sampah domestik, pembersihan awam dan kerja penyelenggaraan infrastruktur.

“Pada masa sama, ia dapat meningkatkan mutu perkhidmatan MDKS kepada warga daerah Kuala Selangor dalam menyediakan persekitaran perbandaran yang kondusif untuk pembangunan ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, warisan sejarah dan kehidupan berkualiti,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, katanya, jumlah cukai taksiran yang berjaya dikutip MDKS, pada 2018 berjumlah hampir RM86 juta.

Katanya, kutipan tunggakan cukai taksiran pula sebanyak RM5.09 juta atau 73 peratus daripada sasaran RM7 juta.

“Untuk 2019, MDKS menganggarkan kutipan hasil keseluruhan berjumlah RM71 juta dan memperuntukkan belanja pembangunan RM18.05 juta daripada anggaran keseluruhan kutipan hasil,” katanya.

Sumber: Selangorkini

Kemaskini Terakhir: Selasa, 18 Jun 2019 - 2:34pm