MENU

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 23 FEB: LBS Foundation dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) akan melaksanakan pembangunan semula Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan dalam tempoh tiga tahun.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, kerjasama yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) itu dijangka dapat memelihara ekosistem dan habitat kelip-kelip, di kawasan berkenaan.

Katanya, Program Tanggungjawab Sosial (CSR) itu turut akan memfokuskan pembinaan semula pintu masuk dan kaunter tiket di kawasan tarikan pelancong terbabit.

“Kerja naik taraf itu sudah bermula, pada 18 Disember tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya, pada Jun 2019.

“Selain memberi impak positif terhadap imej pelancongan Kuala Selangor, ia juga akan meningkatkan hasil pelancongan di daerah itu dan memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk terus menjana ekonomi melalui pendapatan harian sebagai pendayung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Karnival Alam Sekitar dan Hari Tanah Lembap Sedunia Daerah Kuala Selangor 2019, di Taman Alam Kuala Selangor, hari ini.

Turut berkenan mencemar duli merasmikan karnival itu ialah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian; Presiden Persatuan Pecinta Alam Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail; Pengarah Eksekutif LBS Foundation, Dato’ Cynthia Lim Mooi Pang; Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Dato’ Mohamad Yaacob Dato’ Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Rahilah berkata, karnival berkenaan adalah inisiatif di bawah Local Agenda 21 Kuala Selangor untuk mewujudkan suasana kondusif bagi pelancongan dan ekonomi hijau.

“Nilai dan etika adalah unsur penting untuk memelihara alam sekitar serta mampu membangunkan semula sumber bagi kelangsungan hidup manusia yang lebih baik.

“Kerjasama dan sokongan semua pihak amat penting supaya khazanah alam sekitar ini terjaga untuk kejesahteraan dan kedaulatan negara,” katanya.

 

Sumber: Selangorkini

Kemaskini Terakhir: Khamis, 23 Mei 2019 - 10:36am