MENU

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) telah menjalankan operasi pemantauan dan penangkapan lembu yang memasuki kawasan laluan awam dan perumahan pada 22 Januari 2020.

Operasi ini dijalankan di sekitar kawasan Bestari Jaya, Ijok dan Jeram. Satu kompaun telah dikeluarkan serta merta kepada pemilik ternakan di Bestari Jaya di bawah kesalahan Seksyen 5 (1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 kerana membiarkan lembu berkeliaran tanpa kawalan dan denda tidak lebih RM 1,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua belas bulan.

Operasi ini bertujuan untuk mencegah haiwan peliharaan seperti lembu, kerbau dan kambing tidak berkeliaran di kawasan awam dan untuk kebaikan semua pihak terutama para pengguna jalan raya.

Peringatan kepada pemilik ternakan, MDKS boleh mengurung mana-mana lembu-kerbau yang ditangkap dan disimpan di suatu tempat kurungan khas haiwan atas risiko pemunya atau penjaga lembu-kerbau sehingga belanja bagi tangkapan, kurungan dan memberi makan lembu-kerbau itu dibayar jenis kos sitaan dan kos jagaan mengikut yang MDKS tetapkan, barulah pemunya atau penjaga boleh menuntut kembali lembu-kerbau itu di bawah Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

Seksyen 13 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada pihak Majlis untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pemunya, penjaga kerana melanggar mana-mana peruntukan di dalam enakmen tersebut.

Berdasarkan maklumat orang awam yang diterima dari masa ke semasa, MDKS sedang menjalankan operasi menangkap haiwan berkeliaran tersebut di beberapa kawasan yang mempunyai masalah ini. Masyarakat digalakkan untuk menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MDKS secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi 03-32891439.

#KualaSelangor
#IndahDanBersejarah
#MDKS

 

 

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 29 Mei 2020 - 8:41pm