MENU

Majlis Daerah Kuala Selangor telah menjalankan Operasi Premis dan Penjaja Warga Asing pada 6 Ogos 2020. Operasi ini dijalankan di sekitar kawasan Saujana Utama.

Operasi yang dijalankan ini sebagai tindakan kepada premis yang disyaki dijalankan oleh warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada MDKS dan penjaja yang mengambil warga asing sebagai pembantu.

Hasil operasi tersebut, sebanyak dua premis mencuci kereta, sebuah kedai alat ganti tayar dan sebuah kedai gunting rambut telah dikenakan tindakan sitaan dan diarahkan tutup serta merta dibawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MDKS) 2013 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen

Antara peralatan yang disita adalah vakum, pemampat udara, penyembur buih, tayar, rim tayar dan peralatan menggunting rambut. Sembilan kompaun turut dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan seperti menjalankan perniagaan tanpa lesen, pamer iklan tanpa lesen dan melakukan halangan.

Dalam masa yang sama, seorang penjaja warga tempatan turut dikenakan tindakan sitaan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan permit yang sah daripada MDKS. Pemeriksaan turut mendapati penjaja tersebut telah mengambil warga asing sebagai pembantu.

Di dalam Dasar Aktiviti Penjaja dan Peniaga Kecil di Negeri Selangor menyatakan bahawa mengambil pembantu atau pekerja warga asing adalah tidak dibenarkan di bawah lesen penjaja. Permohonan untuk mengambil pembantu atau pekerja hendaklah daripada warganegara Malaysia sahaja. Tindakan sitaan boleh dikenakan dibawah Undang-Undang Kecil 42(1) Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007.

Operasi ini melibatkan 12 anggota Penguatkuasa MDKS dan bermula jam 3.30 petang hingga 7.00 malam. Masyarakat digalakkan untuk menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MDKS secara dalam talian di selangor.spab.gov.my.

#KualaSelangor
#IndahdanBersejarah
#MDKS

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 24 Jun 2022 - 6:24pm