MENU

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) memberi peringatan kepada pemilik-pemilik ternakan khususnya penternak lembu dan kambing untuk sentiasa memastikan haiwan ternakan mereka tidak memasuki laluan awam dan kawasan perumahan.

Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS mendapati masalah ini masih berulang dan beberapa penternak yang sering ingkar telah dikenalpasti.

Menerusi operasi pemantauan dan tangkapan yang dijalankan pada 4 Ogos 2020, satu kompaun telah dikeluarkan serta merta di Bestari Jaya.

Untuk tahun 2019, sejumlah sembilan kompaun telah dikeluarkan dan satu ekor lembu serta satu ekor kambing telah ditangkap. Manakala sehingga Ogos tahun 2020, sejumlah enam kompaun telah dikeluarkan dan empat ekor lembu telah ditangkap.

Lokasi yang dikenalpasti sering terjadi masalah haiwan ternakan yang memasuki laluan awam adalah di Bestari Jaya, Jeram dan Saujana Utama. MDKS sedang dalam perbincangan bersama Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Kuala Selangor untuk proses tindakan yang lebih tegas kepada penternak yang masih ingkar.

Selain itu, papan tanda amaran menjaga lembu/kerbau di kawasan larangan turut telah dipasang di 10 kawasan untuk memberi peringatan kepada penternak. MDKS mengharapkan kerjasama sewajarnya daripada penternak kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya.

Peringatan kepada pemilik ternakan, MDKS boleh mengurung mana-mana lembu/kerbau yang ditangkap dan disimpan di suatu tempat kurungan khas haiwan atas risiko pemunya atau penjaga lembu-kerbau sehingga belanja bagi tangkapan, kurungan dan memberi makan lembu-kerbau itu dibayar jenis kos sitaan dan kos jagaan mengikut yang MDKS tetapkan, barulah pemunya atau penjaga boleh menuntut kembali lembu-kerbau itu di bawah Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

Seksyen 13 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada pihak Majlis untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pemunya, penjaga kerana melanggar mana-mana peruntukan di dalam enakmen tersebut.

Selain itu, jika terdapat tangkapan, penternak boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 5 (1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 kerana membiarkan lembu berkeliaran tanpa kawalan dan denda tidak lebih RM 1,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua belas bulan.

Berdasarkan maklumat orang awam yang diterima dari semasa ke semasa, MDKS sedang menjalankan operasi tangkapan secara berkala. Masyarakat digalakkan untuk menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MDKS secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi 03-32891439.

#KualaSelangor
#IndahdanBersejarah
#MDKS

  

 

Kemaskini Terakhir: Sabtu, 29 Januari 2022 - 8:42am