MENU

SHAH ALAM, 20 FEB: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menggesa pemilik premis makanan dan peniaga pasar malam tidak melengahkan pengambilan Kursus Pengendalian Makanan.

Yang Dipertuanya, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, hal itu kerana pihaknya mendapati pengendali makanan sering mengabaikan kursus berkenaan walaupun ia diwajibkan.

Katanya, kursus itu selaras pemeriksaan dan penggredan premis selain memberi peluang peniaga serta orang awam merujuk tatacara betul pengendalian makanan.

      

“Pada masa sama, kursus ini berupaya membentuk pengendali makanan berdedikasi dengan memantapkan kebersihan persekitaran premis makanan, membudayakan etika dan cara kerja baik serta tadbir urus cekap.

“Ia turut menjadi salah satu syarat utama kepada peniaga yang ingin memohon tapak Bazar Ramadan yang akan dibuka kelak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mereka yang ingkar boleh diambil tindakan di bawah Undang-undang Kecil Pengendalian Makanan (MDKS) 2007 dan Undang-undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007.

“Kepelbagaian makanan di Kuala Selangor menjadikannya salah satu destinasi utama dikunjungi, justeru
MDKS mahu setiap peniaga sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan supaya daerah ini terus menjadi tumpuan pelancong,” katanya.

Kursus Pengendalian Makanan telah diadakan pada 22 Mac ini bermula jam 8 pagi di Dewan Sri Siantan dengan bayaran RM60 seorang.

      

Diadakan setiap bulan, orang ramai boleh mendapatkan jadual kursus seterusnya dengan menghubungi Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS di talian 03-32812235.

 

 

Sumber : Selangorkini