MENU

"Program Karnival Semarak Bahasa" dan "Program Malam Bahasa Jiwa Bangsa" telah diadakan bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan 2015 Peringkat Negeri Selangor yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK Selangor) bertempat di Kaki Bukit Malawati dan Padang Pekan Lama, Kuala Selangor. Tujuan program ini diadakan adalah bagi memberi ruang dan peluang kepada khalayak untuk mengapresiasi puisi melalui deklamasi puisi, lagu puisi taridra, sketsa atau persembahan dan sebagainya.

     

Program Karnival Semarak Bahasa telah diadakan pada sesi pagi bermula pada jam 9.00 pagi sehingga jam 1.00 petang. Program sesi pagi ini lebih tertumpu kepada aktiviti berkaitan bahasa. Antara aktiviti yang dijalankan seperti Permainan Bahasa, Dam Bahasa, Eja Tepat, Susun Kata dan Mari Berpantun. Peserta bagi aktiviti-aktiviti tersebut adalah terdiri daripada pelajar sekolah dan pengunjung-pengunjung yang datang untuk melawat kawasan sekitar Bukit Malawati. Terdapat pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan kepada peserta-peserta yang menang untuk setiap aktiviti yang dijalankan.

     

Pada sesi sebelah malam pula, Program Malam Bahasa Jiwa Bangsa berlangsung pada jam 8.30 malam bertempat di Padang Pekan Lama, Kuala Selangor. Program dimulakan dengan kata alu-aluan oleh pengacara majlis diikuti dengan bacaan doa. Antara tetamu terhormat yang hadir ialah YBhg. Datuk Dr, Hj. Awang Sariyan (Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka) dan YBhg. Datin Wan Rabiah binti Wan Mohd Yusof (Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor). Persembahan pertama dimulakan dengan persembahan gamelan dan cempuling sambil pengunjung menikmati makan malam yang disediakan oleh pihak penganjur.

     

Seterusnya persembahan diteruskan dengan persembahan Mak Yong oleh Zamzuriah Zahari. Persembahan kemuncak program Malam Bahasa Jiwa Bangsa adalah deklamasi puisi yang disampaikan oleh Shukri Abdullah, Haryani Haron & Nur Fatin Hannani Ahmad, DSP Foo Chek Seng, Marziana binti Mohamad Sapuan (Wakil MDKS) dan Dato' Rahman Shaari serta deklamasi puisi khas oleh YBhg. Datuk Dr. Haji Awang Sariyan (Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka). Manakala kumpulan Kopratasa mempersembahkan puisi menerusi dendangan lagu.

     

Program berakhir pada jam 10.30 malam dimana pengunjung disajikan dengan persembahan nyanyian oleh artis jemputan, Aris Ariwatan. Secara keseluruhan, program bertemakan bahasa seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang bagi memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kepentingan penggunaan bahasa yang dapat mengeratkan dan memperkukuhkan perpaduan bangsa menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.

       

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 29 Mei 2020 - 8:41pm