MENU

KUALA SELANGOR, 5 DIS: Sejumlah RM200,000 diluluskan Kerajaan Negeri bagi menaik taraf gelanggang bola keranjang di Kampung Baru Ijok.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dijangka mengeluarkan tender projek naik taraf itu dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya menjangkakan kerja pembinaan dimulakan awal tahun hadapan dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

“Gelanggan sedia ada sudah agak lama dan perlu diperbaiki dan dinaik taraf untuk kemudahan anak muda di sini melakukan aktiviti sukan.

“Kita akan naikkan gelanggang berbumbung dan membolehkan aktiviti berkenaan dijalankan dalam apa jua cuaca,” katanya.

Terdahulu, beliau meninjau kerja mencantikkan bumbung deretan kedai di Kampung Baru Sri Berjuntai, sebelum singgah melawat Kampung Baru Ijok, di sini, hari ini.

Ean Yong berkata, sejumlah RM15,000 turut dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi mendirikan kira-kira 40 papan tanda jalan dwi bahasa di Kampung Baru Ijok.

“Kesemua papan tanda sudah didirikan di sekitar kampung ini pada bulan lalu.

“Lebih istimewa, papan tanda ini juga mengandungi tulisan jawi selain tulisan rumi, dan Cina, selaras dengan dasar MDKS” katanya.

Sumber: Selangorkini