MENU

SUBANG – Kerajaan Selangor memperkenalkan Citizen E-Payment Platform (CEPat) yang menjadi gerbang buat semua perkhidmatan berbayar kerajaan di pelbagai peringkat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, platform diwujudkan menerusi aplikasi mobil dan dalam talian ini diterajui Unit Penyampaian Smart Selangor (SSDU) berasaskan keperluan rakyat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi negeri, institusi kewangan dan pemain e-dompet.

Beliau berkata, teknologi awanan berasaskan cloud digunakan bagi menjamin ia boleh diakses pengguna dengan cepat dan selamat menerusi integrasi sistem disiapkan sehingga ke peringkat bawahan.

“Pembinaan aplikasi ini sejak tiga tahun lalu menyaksikan tiga perkhidmatan di majlis tempatan turut dimasukkan sama dalam sistem CEPat ini dan ia boleh mula dimuat turun menerusi Playstore dan AppStore bermula 1 Oktober ini.

“Ia melibatkan permohonan lesen, kompaun dan cukai taksiran di Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj),” katanya selepas Pelancaran Agenda Ekonomi Tanpa Tunai Smart Selangor di sini semalam.

Menurutnya, platform itu juga diharap dapat mengumpulkan semua perkhidmatan berbayar kerajaan negeri dan agensi berkaitan termasuk semua 46 e-dompet dalam pasaran.

“Saya berharap semua perkhidmatan berbayar kerajaan dalam negeri ini dapat dibuat menerusi platform CEPat menjelang tahun 2022.

“Ini akan menjadi faktor utama buat Kerajaan Selangor dan sekali gus meningkatkan ekonomi tanpa tunai dalam negeri ini,” katanya.

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut berharap perkembangan platform CEPat dapat menggalakkan kerjasama pelbagai pemegang taruh dengan sektor swasta sekali gus memacu inovasi dalam pembayaran elektronik, teknologi kerajaan (GovTech) dan teknologi kewangan (FinTech).

“Agenda Ekonomi Tanpa Tunai Smart Selangor juga menumpukan kepada penciptaan ekosistem ekonomi digital di negeri ini yang bakal merintis peningkatan jumlah transaksi tanpa tunai di samping memacu pertumbuhan ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi.

“Saya juga menjemput semua pemain industri lain untuk sama bergabung dengan kami dalam menjadikan Agenda Ekonomi Tanpa Tunai Smart Selangor satu kenyataan,” katanya.

 

Kemaskini Terakhir: Isnin, 9 Disember 2019 - 10:42am