MENU

Selaras dengan misi nasional untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan menjelang pasca 2020, kedudukan negara kini berada di landasan yang kukuh dan kekal kompetitif dari aspek ekonomi, politik, fizikal dan sosial. Setakat ini, Malaysia telah berjaya memecah tembok-tembok kemustahilan dari aspek penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta prestasi ekonomi yang lebih berdaya saing. Ke arah itu, negara telah melakukan paradigm shift atau satu anjakan besar daripada ‘being’ kepada ‘doing’.

Salah satu usaha dan inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan adalah melalui pewujudan Urban Tranformation Centre (UTC) di bandar utama di setiap negeri yang telah memberikan manfaat secara maksimum kepada rakyat, di mana pelbagai perkhidmatan utama Kerajaan dan sektor swasta disediakan kepada komuniti bandar di dalam satu pusat sehenti atau di dalam satu bangunan. Sistem pengangkutan awam bandar juga diperkasakan dengan menambah baik perkhidmatan KTM Komuter dan Sistem Light Rapid Transit (LRT), penambahan kapasiti KL Monorel dan projek peluasan jajaran aliran LRT untuk menghubungkan rakyat kepada lebih banyak kawasan. Perkhidmatan Rapid Bus juga telah diperkenalkan untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di bandar seperti di Kuala Lumpur, Kuantan, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Kawasan bandar memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara ke arah meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Pelbagai isu dan cabaran perlu didepani dalam mengurus bandar, antaranya kos sara hidup tinggi, harga rumah yang tinggi, kesan pemanasan global dan perubahan iklim akibat aktiviti manusia serta penyediaan kemudahan sosial yang mencukupi. Dalam mengimbangi antara pertambahan penduduk dan komitmen Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon sehingga 45% (peratus) menjelang 2030, peralihan kepada pertumbuhan hijau kini menjadi keperluan kepada Malaysia. Peralihan daripada pembangunan trajektori konvensional ‘grow first, clean up later’ kepada pembangunan rendah karbon, berdaya tahan dan penggunaan sumber yang cekap perlu diperkukuhkan untuk manfaat generasi akan datang.

Sehubungan itu, Dasar Perbandaran Negara Kedua (DPN2) akan menjadi pemacu perubahan kepada pertumbuhan ekonomi bandar-bandar di Malaysia menjelang tahun 2025 yang mana penduduk bandar akan mampu memiliki rumah, menikmati sistem pengangkutan awam yang sistematik dan berkualiti, infrastruktur dan kemudahan sosial yang lengkap, kawasan hijau dan rekreasi yang mencukupi serta akses kepada peluang ekonomi yang lebih baik bagi membolehkan penduduk bandar merancang masa hadapan yang terjamin baik untuk generasi akan datang.