MENU

Taman ini merupakan salah satu produk pelancongan yang dibangunkan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor. Taman Ikan Air Tawar ini mula dibina pada tahun 2004 dan mula beroperasi pada 01.01.2009. Ia mempunyai keluasan 5 ekar dan terletak di rezab Hutan Simpan Taman Alam serta kedudukannya bersebelahan dengan Bukit Malawati yang banyak menyimpan sejarah Negeri Selangor. Perjalanan mengambil masa 5 minit daripada Bukit Malawati dengan menaiki Trem. Taman ini adalah tempat yang sesuai untuk mempelajari hidupan ikan air tawar, kerana mempunyai sejumlah 1500 ekor ikan daripada 60 spesis ikan air tawar seperti Ikan Buaya, Toman (Giant Snakehead), Kelah (Tor Tambra), Kelisa (Golden Arowana), Keli (Walking Catfish), Lampam (Javenese Crap), Belida (Featherbask), dan banyak lagi. Menariknya Taman Ikan Air Tawar ini adalah kerana kebanyakan ikannya diperolehi daripada Sungai Selangor, Kuala Selangor

  

Di Taman Ikan Air Tawar ini terdapat sebuah galeri yang dapat memberikan maklumat kepada pengunjung mengenai hidupan air tawar, sejarah ikan air tawar di Kuala Selangor, konsep akuarium, jenis ikan dan peralatan yang digunakan untuk menangkap ikan, seperti bubu udang, bubu daun, bubu saadah, raga tok, raga batang, serkap dan banyak lagi.

   

Kemudahan yang disediakan di Taman Ikan Air Tawar ini adalah seperti Galeri, Bilik Tayangan, Mini Mart, tandas dan surau.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taman Ikan Air Tawar ini mengambil masa selama satu jam setengah dan 45 minit daripada Klang. Bagi mereka yang ingin menaiki bas bolehlah mendapatkan perkhidmatan Selangor Bas (warna merah) dari hentian Puduraya Kuala Lumpur, dan menaiki teksi untuk ke Taman Ikan Air Tawar. Jika perjalanan dari Klang pula perkhidmatan bas Transnasional beroperasi daripada Hentian Bas Klang Central sampai ke Pekan Lama Kuala Selangor.

Pengunjung boleh membuat sebarang pertanyaan dengan menghubungi :

 

MAJLIS DAERAH KUALA SELANGOR
Jalan Majlis, 45000 Kuala Selangor,
Selangor Darul Ehsan.
Tel : 03-32891439 / 1549 / 2423 / 4328
Fax : 03-32891101 / 3386
Email : pelancongan [at] mdks [dot] gov [dot] my